KUALA LUMPUR- Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melaporkan 26 peratus daripada orang dewasa yang bekerja mengalami tekanan kewangan.
Perkara itu didedahkan Pusat Penyelidikan Pendidikan Kesejahteraan Kewangan AKPK menerusi laporan bertajuk “Dari Jam Sembilan Ke Lima: Navigasi Kesejahteraan Kewangan Di Tempat Kerja.”
Laporan itu dilancarkan pada Persidangan Kesejahteraan Kewangan di Sasana Kijang, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir berkata, kajian oleh AKPK mendapati kesejahteraan kewangan dan mental mempunyai hubung kait.
Katanya, sebanyak 26 peratus pekerja dewasa di Malaysia menghadapi pelbagai tahap tekanan kewangan dan 65 peratus daripadanya mengakui tekanan kewangan mempengaruhi prestasi kerja mereka.
“Bayangkan berapa banyak produktiviti yang boleh kita hasilkan jika angka 26 peratus itu boleh diturunkan ke paras yang lebih rendah?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut laporan itu, 70 peratus daripada pekerja yang mempunyai kesejahteraan kewangan rendah menunjukkan prestasi yang lemah.
Sementara itu, 78 peratus responden yang mempunyai kesejahteraan kewangan tinggi berjaya mencatatkan produktiviti melebihi jangkaan.
Laporan itu turut menemui hubung kait di antara kesejahteraan kewangan dengan kesetiaan pekerja terhadap syarikat.
Menurut Azaddin, 91 peratus daripada pekerja yang mempunyai kesejahteraan kewangan tinggi lebih setia kepada syarikat.
Ini berbeza dengan 89 peratus pekerja yang mempunyai kesejahteraan kewangan rendah yang akan selalu aktif mencari pekerjaan baharu.-MalaysiaGazette