Awang Solahuddin Hashim

KUALA LUMPUR – Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.

Ia selepas Howard Lee (PH-Ipoh Timur) mendakwa, Awang membuat tuduhan palsu berhubung penjualan saham saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada syarikat BlackRock.

“Apa yang disebut oleh Pendang tadi berkenaan dengan penjualan saham MAHB kepada BlackRock Inc. Itu bukan sahaja salah, tetapi mengelirukan Malaysia dan Dewan Rakyat.

“Dekat mana tuduhan palsu yang menyatakan saham MAHB akan dijual kepada BlackRock,” katanya ketika mencelah perbahasan Awang dalam perbahasan ketika pembentangan Rang Undang-undang Audit (pindaan 2024) bacaan kali kedua, di Dewan Rakyat, hari ini.

Rang Undang-Undang itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang bertujuan untuk memperkasakan institusi audit negara.

Lantaran itu, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Wong menggesa agar Howard membuat usul untuk mengemukakan Awang ke jawatankuasa tersebut.

“Saya minta Ahli Parlimen Ipoh Timur untuk membuat usul merujuk Ahli Parlimen Pendang,” gesa Alice.

Howard dalam pada itu menjawab: “Saya akan buat usul berkenaan tapi saya minta tarik balik kenyataan itu dahulu. Tidak boleh menghina Dewan Rakyat,” katanya.

Semuanya bermula apabila Awang berkata, blok kerajaan didakwa tidak faham akan kenyataan beliau di Dewan Rakyat, hari ini.

“Saya kata tadi kalau RUU ini diluluskan, audit yang pertama perlu dilakukan adalah ke atas MAHB sebab mengguna wang rakyat, bukan saya suruh buat sekarang sebab RUU ini tidak diluluskan lagi.

“Dia (Howard Lee) tidak faham,” katanya lagi.

Alice yang melihat keadaan semakin di luar kawalan, beliau kemudiannya menghentikan sidang Dewan Rakyat.

“Saya rasa Ahli Parlimen tidak berminat untuk membahaskan RUU ini, jadi mesyuarat Dewan Rakyat hari ini ditangguhkan dan akan disambung semula esok jam 10 pagi,” katanya sebelum meninggalkan Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here