Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bersama Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kanan) dan Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan (kiri) ketika hadir pada perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyindir Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Saifuddin Nasution Ismail mematuhi tatacara pemakaian pakaian rasmi ketika sidang Dewan Rakyat.

Anwar ketika menjawab dalam sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) berkata, Saifuddin Nasution sepatutnya faham akan etika pemakaian ketika sidang Parlimen berlangsung.

“Saya nak ingatkan Menteri Dalam Negeri supaya mengikut peraturan pemakaian Parlimen,” kata Anwar sambil tersenyum sinis.

Semuanya bermula apabila Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) bangun menegur Saifuddin Nasution yang memakai baju batik hari ini bukan pada hari Khamis sebelum bertanyakan soalan dalam sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

“Sebelum saya kemukakan soalan, saya nak tanya mengenai etika berpakaian di Parlimen, batik boleh pakai hari Rabu ke? Sebab saya nampak MDN pakai batik hari ini,” kata Rosol.

Mendengar persoalan itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau akan mengemukakan komennya selepas sesi PMQT berakhir.

“Kemukakan soalan dahulu, nanti saya akan komen sat lagi,” kata Johari.

Untuk rekod, pakaian batik hanya dibenarkan pada hari Khamis kepada jemaah menteri dan penjawat awam apabila kerajaan mengemukakan kelonggaran untuk pemakaian tersebut.

Menurut surat edaran”Pemakaian Pakaian Batik Malaysia Semasa Waktu Bekerja Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan” bertarikh 21 Ogos 2023 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamed, semua pegawai perkhidmatan awam diwajibkan memakai pakaian batik Malaysia pada setiap hari Khamis, manakala pemakaian pada hari bekerja lain digalakkan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here