Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan sebuah motorkar jenis Audi R8 Quattro dan kenderaan yang lain dirampas mengenai sindiket curi kenderaan mewah Geng K-Boy anggaran kerugian RM700,00 di IPK Selangor, Shah Alam. Foto SYADILA AMARI, 02 JULAI 2024.

SHAH ALAM – Sindiket pecah rumah dan curi kereta mewah tumpas selepas tujuh ahli Geng K-Boy termasuk perancang utamanya ditahan polis di sekitar Kuala Lumpur, Johor Bharu dan Perak pada 25 hingga 30 Jun lalu.

Ketua Polis Selangor,  Datuk Hussein Omar Khan berkata, daripada jumlah itu, tiga individu merupakan rakan sejenayah yang melakukan pecah rumah dan curi kenderaan manakala tiga lagi mempunyai pengetahuan tentang jenayah tersebut.

“Hasil maklumat risikan kes pecah rumah ini, sepasukan polis dari bahagian Siasatan Jenayah Daerah Gombak telah menjalankan operasi mengesan suspek yang terlibat dari 25 hingga 30 Jun 2024.

“Seramai lima lelaki dan dua perempuan tempatan berusia antara 31 tahun hingga 54 tahun telah ditangkap di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Perak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Beberapa kenderaan yang dirampas mengenai sindiket curi kenderaan mewah Geng K-Boy anggaran kerugian RM700,00 di IPK Selangor, Shah Alam. Foto SYADILA AMARI, 02 JULAI 2024.

Menurut Hussein, tangkapan itu dilakukan susulan laporan polis daripada seorang lelaki selepas dihubungi majikannya yang berada di China memaklumkan rumah sewa di Taman Ehsan, Kepong telah dipecah masuk kira-kira 8 malam pada 24 Jun lalu.

“Pengadu telah membuat pemeriksaan di rumah sewa majikannya dan didapati keadaan rumah berselerak dan juga terdapat tiga kereta milik majikannya telah tiada di dalam parkir rumah.

Antara kenderaan yang dilaporkan hilang ialah AudiR8 Quattro (2016), Porsche 718 Cayman (2018) dan Suzuki Swift 14(a) (2012) dengan jumlah kerugian dianggarkan RM700,000.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan pecah rumah yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai 14 tahun dan denda.

“Suspek boleh dihukum mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri sebuah kenderaan motor yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai tujuh tahun dan denda,” katanya.

Mengulas lanjut, hasil tangkapan tujuh individu itu, pihaknya berjaya menemui kesemua tiga kenderaan mewah yang dicuri  serta sebuah kereta jenis Volkswagen yang digunakan oleh suspek untuk melakukan jenayah.

Polis turut merampas tujuh telefon bimbit, SmartTag dan dua kad TouchNGo, dua parang, dua pemotong besi, pelbagai barangan dipercayai hasil pecah rumah (beg badminton, mesin muka, pemegang televisyen, dua topeng muka dan dua sarung tangan.

Selain itu, Hussein berkata, kesemua suspek memiliki rekod lampau jenayah dan narkotik dan masih dalam tahanan reman sehingga 3 Julai ini.

“Modus operandi kumpulan ini akan mencari sasaran dengan mengenal pasti rumah rumah yang memiliki kenderaan-kenderaan mewah sebelum melakukan pecah rumah.

“Kemudian mereka akan melarikan kenderaan mewah dengan menggunakan kunci kenderaan yang diperoleh dari dalam rumah mangsa.

“Kesemua suspek yang terlibat dalam kes pecah rumahini telah berjaya ditangkap,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here