Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR- Institusi tempatan muncul pembeli bersih saham di Bursa Malaysia pada Jun sebanyak RM310 juta.

Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) dalam nota penyelidikannya berkata, institusi tempatan menjadi penjual bersih bernilai RM660 juta, pada bulan sebelumnya.

Sementara itu katanya, pelabur runcit tempatan yang menjadi penjual bersih di pasaran saham tempatan sejak Julai tahun lalu pula mengurangkan penjualan bersih kepada hanya RM250 juta bulan lepas, berbanding RM830 juta yang dicatatkan pada Mei.

Pelabur asing pula, katanya menjadi penjual bersih marginal saham tempatan bulan lalu sebanyak RM61 juta, selepas merekodkan pembelian bersih yang besar berjumlah RM1.49 bilion pada Mei, dengan kebanyakan penjualan itu berlaku pada separuh kedua Jun.

Bank pelaburan itu berkata, ini menjadikan penjualan bersih asing dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berjumlah RM820 juta, jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan penjualan bersih sebanyak RM2.34 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

“Pegangan saham asing hampir tidak berubah pada Jun berbanding 19.6 peratus setakat akhir Mei. Aktiviti perdagangan kekal memberangsangkan dengan purata nilai perdagangan harian (ADV) berada pada RM4.3 bilion.

“Penyertaan pelabur asing pula berada pada 32.2 peratus, institusi tempatan (44.1 peratus) dan pelabur runcit (22.5 peratus),” katanya.

Pada Jun, lima saham tempatan yang paling banyak dijual oleh pelabur asing dari segi nilai adalah Public Bank, Maybank, CIMB, YTL Power dan KL Kepong.

Manakala, lima saham yang paling banyak dibeli pelabur asing adalah Tenaga, Press Metal, MISC, VS Industry dan Inari.

Setakat tahun ini, saham yang paling banyak dijual oleh pelabur asing adalah Public Bank, KL Kepong, RHB Bank, CIMB dan Nestle, manakala pembelian terbesar adalah Tenaga, MISC, IJM, YTL Power dan Sime Darby.- MalaysiaGazette

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here