BANGI – Pemain industri minyak sawit digesa memanfaatkan kemajuan teknologi yang ada untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini bagi memastikan industri minyak sawit Malaysia terus berdaya saing dan relevan seiring dengan perubahan global.
“Penggunaan teknologi dan inovasi yang berkesan dalam pertanian di negara maju telah meningkatkan prestasi sektor pertanian dengan ketara dan menyumbang kepada kemajuan ekonomi.
“Malaysia mengeskport 15 juta tan minyak kelapa sawit dan jika lebih banyak penyelidikan dan pembangunan dihasilkan di mana macam-macam produk lagi dapat dihasilkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB (TOT MPOB 2024) di Hotel Tenera, di sini, hari ini.
Sempena program tersebut, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyempurnakan perjanjian pengkomersialan formulasi baja miliknya dengan dua buah syarikat pengeluar baja.
Johari menambah, dengan penyertaan lebih banyak syarikat dalam pengkomersialan baja formulasi MPOB, pengusaha ladang sawit akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk mendapatkan bekalan baja berkualiti bagi peningkatan hasil sawit.
“Melalui teknologi baharu, kita dapat menangani penyakit dan perosak pokok sawit seperti ulat bungkus (bagworm) yang boleh mengakibatkan kerugian pendapatan sehingga RM100 juta setahun kepada pengusaha ladang.
“Penyelidikan MPOB telah menghasilkan produk biopestisid mesra alam bagi mengawal pembiakan perosak ini secara mampan. Sejak tahun 2018, Kerajaan telah memperuntukkan RM12.4 juta bagi menangani ancaman serangga perosak ulat bungkus,” katanya. – MalaysiaGazette