Kulasegaran
M. Kulasegaran. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 16 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan dilantik tidak lama lagi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata, pelantikan bagi jawatan tersebut sudah berada di peringkat akhir.

“Mesyuarat pemilih telah diadakan pada 7 Jun, cadangan Pengerusi Suhakam pada masa kini berada pada peringkat akhir dan pengerusi baharu akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Mengikut Seksyen 5 (4) Akta Suhaka bagi tempoh kekosongan pengerusi, maka naib pengerusi yang dipilih hendaklah menjalankan tugas pengerusi dan telah dijalankan dalam masa tempoh kekosongan,” katanya dalam Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2021 dan Tahun 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Jawatan Pengerusi Suhakam masih kosong sejak 1 September tahun lalu setelah Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad melepaskan jawatan itu berkuatkuasa 31 Ogos tahun lalu.

Dalam perbahasan sama, Kulasegaran menggesa agar polis mempercepatkan siasatan terhadap dua individu yang didakwa menghina kaum India di negara ini.

Bercakap di Dewan Rakyat, Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) berkata, tindakan terhadap kedua-dua mereka perlu diambil segera bagi menjaga kesejahteraan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Percepatkan siasatan terhadap mereka (Firdaus Wong dan Zambri Vinoth) dan satu keputusan muktamad dibuat supaya perkara ini dapat dihapuskan pada peringkat permulaan,

“Jangan kita benarkan ia berlarutan menjadi satu isu di antara agama dan yang lain,” katanya.

Sebelum ini, beberapa ahli Parlimen India daripada blok kerajaan menggesa Kementerian Daalm Negeri (KDN) untuk mengambil tindakan terhadap Zamri iaitu penceramah agama yang didakwa menghina agama bukan Islam.

Ia susulan  video Zamri telah memberikan kenyataan tentang dewa Shiva Lingam yang disembah oleh kaum India beragama Hindu di negara ini.

Firdaus pula disiasat kerana menghasut susulan video tular apabila beliau memberikan arahan mengenai cara menukar agama kanak-kanak bukan Islam secara rahsia.

Beliau kini disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here