Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada media berkenaan majlis Pra Pelancaran Pra Tahfiz KEMAS di Nibong Tebal, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 2 JULY 2024.

NIBONG TEBAL – UMNO sentiasa terbuka untuk menerima bekas pemimpin dan ahlinya yang mahu kembali ke pangkuan parti tersebut.

Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata, permohonan itu akan dikaji oleh Lembaga Disiplin sebelum keputusan penerimaan dibuat.

“UMNO sangat terbuka…pintu UMNO juga selalu terbuka bukan saja untuk Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed) tapi untuk semua.

“Saya yakin sesiapa yang ingin kembali ke UMNO, kita pasti akan mengkaji (permohonan tersebut).

“Kita juga mempunyai lembaga disiplin parti untuk meneliti penerimaan bekas-bekas ahli UMNO,” katanya ketika diminta mengulas sama ada UMNO sedia menerima semula bekas menteri kabinet, Datuk Seri Mustapa Mohamed susulan beliau telah mengumumkan keluar daripada Bersatu.

Terdahulu, Ahmad Zahid merasmikan Pelancaran Program Pra Tahfiz Peringkat Negeri Pulau Pinang di Perda Tech di sini, hari ini.

Media pada 28 Jun lalu melaporkan, bekas Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed menolak tawaran untuk diletakkan sebagai calon oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika Pilihan Raya Kecil (PRK) berlangsung di Parlimen Gua Musang atau Jeli.

Mustapa yang turut dikenali sebagai Tok Pa berkata, beliau telah meletakkan jawatan sebagai ahli dan semua jawatan dalam Bersatu pada 30 September lalu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here