KUALA LUMPUR – Apakah rintihan rakyat yang meluahkan rasa kecewa mereka kerana menjadi mangsa kenaikan harga diesel RM3.35 seliter dianggap politik kebencian, soal Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ketua pembangkang itu berkata, adakah teguran rakyat terhadap beberapa isu yang menghimpit pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga boleh dikategorikan sebagai politik kebencian.
“Apakah bila rakyat bangkit menuntut janji turun harga minyak dari PMX dilabelkan politik kebencian?
“Apakah bila rakyat menegur kerajaan kerana berurusniaga dengan BlackRock melibatkan penjualan saham sehingga 30 peratus aset strategik negara iaitu MAHB – membabitkan syarikat yang terlibat menyokong genosid Israel dan tidak dilakukan secara tander terbuka merupakan politik kebencian? soal Hamzah.
Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) merujuk kepada kenyataan Anwar yang bimbang dengan persekitaran politik kebencian yang semakin menebal di negara ini sehingga fakta tidak dipedulikan sama sekali.
Anwar pada Selasa berkata, apa sahaja yang dilakukan kerajaan akan dikritik dan dikecam habis-habisan.
Justeru itu, Hamzah berkata, Anwar dinasihatkan agar tidak mudah lupa diri bila mendapat kuasa dan menasihatkan supaya suara rakyat tidak dianggap sebagai sebahagian daripada politik kebencian.
“Apakah kerana rakyat menegur kerajaan Madani cakap tak serupa bikin – kononnya mahu banteras rasuah tapi bekas menteri yang terkait dengan kes rasuah hampir RM100 juta langsung tidak didakwa.
“Kononnya mahu banteras rasuah, tapi desakan supaya kekayaan luar biasa bekas setiausaha politik disiasat tidak diendahkan. Kononnya mahu banteras rasuah, tapi sekadar pandang sebelah mata kontroversi projek DRT libatkan suami seorang menteri dianggap politik kebencian?,” katanya. – MalaysiaGazette