Aisyah Hijanah dan Alif Teega.

KUALA LUMPUR – Pempengaruh popular, Aisyah Hijanah menyangkal semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah membabitkan dirinya seperti yang tular di media sosial.

Peguam yang mewakilinya, Abd Rahim Ali berkata, individu bertanggung jawab yang menyebarkan tuduhan itu perlu membuktikan dakwaan di mahkamah kelak.

Menurutnya, Aisyah yang juga isteri kepada pempengaruh, Alif Teega akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan membabitkan mana-mana pihak berkuasa jika diperlukan.

“Anak guam kami tidak sesekali pada setiap masa yang material menjalankan apa-apa aktiviti menyalahi undang-undang negara.

“Pihak kami menegaskan bahawa segala aset yang diperoleh oleh anak guam kami adalah atas daya usaha beliau sendiri tanpa menyalahgunakan mana-mana dana mahu pun kutipan derma.

“Anak guam kami juga seperti sedia maklum menjalankan pelbagai perniagaan yang menjana keuntungan. Mereka juga berhak menikmati hasil keuntungan perniagaan untuk tujuan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abd Rahim menegaskan, pihaknya menafikan sebarang pembabitan anak guamnya berhubung skim 20 peratus yang diterima oleh pempengaruh bagi keseluruhan derma oleh platform kutipan derma dalam talian, JomDonate.

Menurut beliau, skim itu hanya diperkenalkan pada tahun 2022 iaitu selepas Aisyah berhenti menggunakan platform terbabit.

“Pihak kami menegaskan bahawa sebarang penggunaan imej, gambar dan/atau testimoni anak guam kami dibuat setelah mereka tidak lagi menggunakan platform itu.

“Oleh itu, sebarang penggunaan imej, gambar dan/atau testimoni anak guam kami adalah tanpa sebarang kebenaran dan persetujuan mereka,” katanya.

Menurutnya, mereka turut menafikan semua dakwaan penyelewengan atau pecah amanah membabitkan aktiviti kutipan derma membabitkan sebuah madrasah malah pihak berkenaan sudah memohon maaf berhubung isu itu.

Katanya, kempen derma membabitkan madrasah berkenaan sudah tamat pada 14 Jun lalu dan segala hasil kutipan sudah diserahkan kepada pihak terbabit.

Pada masa sama, pihaknya turut menafikan sebarang kaitan berhubung sebuah akaun Facebook bernama ‘Aisyah Hijanah Official’ dan tindakan undang-undang akan diambil ke atas individu yang menyalahgunakan nama dan identiti anak guamnya.

“Adalah ditegaskan bahawa anak guam kami tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk membuat kenyataan bagi pihak beliau.

“Tindakan pihak yang menyalahgunakan nama dan identiti anak guam kami membawa kepada kesulitan, kesengsaraan emosi dan kerugian yang tidak boleh dipampaskan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast