KUALA LUMPUR – Kes berkontroversi melibatkan tuntutan harta berjumlah lebih RM2 bilion dikemukakan balu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis, Puan Sri Kalsom Ismail terhadap empat anak dan ibu mentuanya sejak enam tahun lalu berakhir dengan baik hari ini.
Pada prosiding akhir secara tertutup di Mahkamah Tinggi Syariah, difahamkan semua pihak mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes tuntutan berkenaan secara baik.
Menurut Peguam syarie, Nur Hidayah A Bakar, yang mewakili ibu Jamaludin memberitahu perjalanan tuntutan itu dapat diselesaikan dengan baik dan mendapat persetujuan semua pihak terlibat.
Difahamkan semua pihak berbincang lebih tiga jam sebelum persetujuan itu direkodkan oleh mahkamah hari ini.
“Bagaimanapun kita tidak boleh dedahkan apa-apa yang berkaitan dengan jumlah berkaitan harta-harta itu,” katanya ringkas kepada media hari ini.
Menurut peguam itu, semalam, isteri kepada arwah, Kalsom memberikan keterangan sebelum semua pihak membuat keputusan mencapai kata sepakat hari ini.
Sebelum ini Kalsom pada Oktober 2018 telah memfailkan memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Makkah serta beberapa buah syarikat.
Beliau menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla dan ibu mentuanya Aminah sebagai defendan.
Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pukul 4.55 petang.
Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran dan seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. -MalaysiaGazette