KUALA LUMPUR – Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor menegur ahli-ahli Parlimen susulan berlaku kekecohan beberapa kali sehingga mengganggu sesi perbahasan petang ini.
Beliau melahirkan kekesalannya itu kerana melihat masih ada dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang tidak berbahas secara matang.
“Saya rasa Yang Berhormat semua sedia maklum terminologi integriti. Ia bukan sahaja hal berkaitan rasuah dan sebagainya tapi cara kita bercakap dan berbahas.
“Jangan jadi seperti budak-budak. Bagi saya kita dah berumur, jangan perbodohkan diri kita di khalayak. Baik di sebelah pembangkang dan kerajaan,” katanya sebelum membuka laluan bagi sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 di Dewan Rakyat, hari ini.
Ramli turut memberi amaran akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap ahli-ahli Parlimen yang masih ingkar arahan tersebut.
“Saya akan handle mengikut peraturan. Jika ada yang degil, saya tak peduli. Di sini saya laksanakan tugas. Di luar kita kawan,” ujarnya.
Terdahulu, Dewan Rakyat menjadi kecoh beberapa kali susulan ahli-ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan bertikam lidah berhubung beberapa isu.
Ia bermula ketika Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berucap pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Audit (Pindaan) 2024.
Ia susulan RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit bertanyakan soalan meminta Timbalan Speaker ketika sesi itu, Alice Lau Kiong mengambil perhatian terhadap dua ahli Parlimen pembangkang iaitu Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) dan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) kerana didakwa mengganggu perbahasannya semalam.
Keadaan bertambah kecoh selepas Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mencelah dan menimbulkan dakwaan lain ada pemimpin daripada parti DAP cuba memohon beratus ekar tanah di Kelantan.
Kenyataan Awang itu menimbulkan kemarahan Rayer yang mendakwa beliau sengaja membuat sangkaan jahat malah turut mencabar supaya menamakan pemimpin DAP terbabit.
Alice kemudian meminta ahli Parlimen yang tidak berpuas hati supaya membuat usul bagi menuntut Awang memberikan penjelasan lanjut mengenai dakwaannya itu.
Kekecohan turut timbul apabila Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mendakwa DAP mahu menutup Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
Beliau sebelum itu menyeru audit dijalankan berhubung peruntukan ahli Parlimen.
Kenyataan itu mendorong Teresa Kok (PH-Seputeh) dan RSN Rayer (PH-Jelutong) menuntut Shahidan menarik balik dakwaan itu.
Timbalan Speaker kemudian memaklumkan kepada Rayer bahawa beliau boleh membuat suatu usul supaya Shahidan menunjukkan bukti dan sekiranya Shahidan gagal berbuat demikian akan dibawa kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. – MalaysiaGazette