Gambar hiasan murid sekolah di Thailand Foto: Bangkok Post

BANGKOK- Kerajaan Thailand akan melancarkan sebuah projek untuk mencari dan membantu kanak-kanak yang keciciran daripada sistem persekolahan selepas ia mendapati lebih satu juta murid menamatkan pengajian sebelum waktunya.

Jurucakap Chai Wacharonke berkata, kerajaan mempunyai dasar “Sifar Keciciran Murid di Thailand” sebagai janjinya untuk membawa semula semua kanak-kanak kembali ke sekolah.

Menurut beliau, insiatif tersebut merangkumi empat langkah.

Pertama, ia perlu menggunakan pangkalan data agensi sekutu untuk mencari pelajar yang keciciran.

Langkah kedua adalah memberi bantuan kepada kanak-kanak terbabit kembali kepada sistem pendidikan.

Langkah ketiga, kerajaan akan menyediakan kurikulum yang sesuai dengan keperluan individu supaya pelajar terbabit boleh mencapai potensi maksimum.

Langkah terakhir adalah mengggalakan perniagaan swasta untuk menyertai program terbabit menerusi pelbagai kaedah antaranya pemberian biasiswa.

Kerajaan juga katanya, merancang melancarkan aplikasi Sifar Keciciran di Thailand bulan ini bagi membantu mengenal pasti pelajar-pelajar terbabit serta memantau progres projek berkenaan.

“Perdana Menteri Srettha Thavisin bimbang terhadap masa depan negara selepas mengetahui terdapat 1.02 juta anak muda berusia 3 hingga 18 tahun tidak bersekolah.

“Beliau mengarahkan semua pihak terlibat untuk menyelesaikan isu berkenaan secepat mungkin,” kata Chai.

Pengumuman itu dibuat selepas seorang pakar pendidikan yang juga Pengarah eksekutif Tabung Kesaksamaan Pendidikan (EEF), Sompong Chitradab berkata, isu pelajar meninggalkan sistem pendidikan awal tahun ini adalah masalah serius.

EEF mendapati 1,025,514 kanak-kanak berhenti sekolah tahun ini, meningkat dua kali ganda berbanding tahun lepas.

Menurut Sompong, kemiskinan pernah menjadi punca kepada isu keciciran pelajar pada masa dahulu.

Namun ketika ini, ketidakstabilan politik yang menyebabkan ketidaktentuan pasaran buruh, pelaburan dan ekonomi juga menjadi penyumbang.

Ini kerana faktor-faktor berkenaan menyebabkan lebih banyak keluarga memberhentikan anak-anak mereka daripada bersekolah.- Bangkok Post

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast