KUALA LUMPUR – “Sebenarnya, saya sudah lama pasang niat hendak bertudung, tetapi belum ada kekuatan itu.”
Itu pengakuan pelakon jelita, Nora Danish mengenai penampilan terbaharu yang dikatakan sudah berhijab.
Nora bagaimanapun enggan mengesahkan perkara itu, sebaliknya memohon orang ramai mendoakan buat dirinya.
“Doakan saya kekal istiqamah dengan imej terbaharu ini. Saya rasa lebih tenang dan selesa dengan imej sekarang (bertudung).
“Saya takut hendak beritahu sudah bertudung sepenuhnya sebab saya juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada ujian dan dugaan Allah SWT.
“Apa yang mampu saya kongsi, doakan yang baik-baik dan semoga perubahan ini memberi kemanisan dalam hidup saya,” katanya kepada Metro Online, di sini, hari ini.
“Saya buat keputusan ini tanpa desakan atau paksaan sesiapa. Saya sendiri yang memilih untuk berhijab kerana usia saya pun bukan muda lagi.
“Saya percaya setiap wanita yang belum berhijab pun pasti ada keinginan yang sama.
“Apa-apa pun terima kasih kepada semua yang mengambil berat dan mendoakan saya,” katanya.
Terdahulu, Nora mencetuskan tanda tanya melalui hantaran di Instagram (IG) apabila tampil berhijab sejak beberapa hari lalu. – MalaysiaGazette