Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Pas mengecam tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi apabila menjanjikan pelaksanaan dua projek di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya kecil (PRK) di DUN tersebut pada 6 Julai ini.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya memandang serius tindakan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO kerana menjanjikan dua projek iaitu mewujudkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan pembinaan sekolah tamil di Sungai Bakap.

“Pas menyifatkan kenyataan ini sebagai satu rasuah terang-terangan dengan tujuan untuk mempengaruhi pengundi, sekaligus sewajarnya diisytiharkan sebagai satu kesalahan mengikut Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Tindakan ini juga merupakan satu tindakan terdesak oleh pihak kerajaan terutamanya Pakatan Harapan dan Barisan Nasional untuk memenangi pilihanraya kecil ini sekalipun terpaksa menodai lunas-lunas demokrasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Ahmad Fadhli menegaskan, Pas tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang cuba mencabuli undang-undang pilihan raya terutama dalam menawarkan apa-apa tawaran dan projek dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam satu majlis di Nibong Tebal malam tadi berazam akan membantu membawa pembangunan kepada penduduk Sungai Bakap sekiranya calon Kerajaan Perpaduan, Dr. Joohari Ariffin diangkat sebagai wakil rakyat.

Beliau dipetik berkata, azamnya itu bukan sekadar janji politik pilihan raya namun, demi memastikan kesejahteraan penduduk Sungai Bakap.

Bagaimanapun, kenyataan Ahmad Zahid itu dibidas Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa yang menganggap kenyataan Ahmad Zahid itu bersifat ugutan dan menghina  pengundi di DUN berkenaan.

Ahmad Zahid ketika ditanya wartawan mengenai tanggapan Annuar terhadapnya itu telah menyifatkan bekas ahli Parlimen Ketereh sebagai seorang yang “gila talak”. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast