Hishamuddin Rais dipanggil oleh MCMC untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan. Foto: FB Tian Chua

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan Hishamuddin Md Rais hanya dipanggil untuk dirakam percakapan.

Jelasnya, aktivis sosial itu bukan subjek siasatan sebaliknya dipanggil untuk membantu siasatan berhubung satu kandungan bersifat jelik yang dipercayai telah dikongsi semula melalui laman blog “TukarTiub” miliknya.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merakam percakapan seorang aktivis sosial, Hishamuddin Md Rais di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pada pukul 3.15 petang semalam bagi membantu siasatan berkaitan satu kes yang sedang dijalankan.

“Tiada sebarang penahanan atau sitaan peranti dibuat dan siasatan telah selesai pada pukul 6.45 petang,” kata MCMC menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, agensi itu telah menyerahkan Notis Kehadiran kepada Hishamuddin mengikut prosedur yang ditetapkan.

Tegasnya, sebarang tindakan siasatan terhadap mana-mana individu dijalankan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.

Semalam, media melaporkan, Hishamuddin disoal siasat oleh polis selama lebih dua jam berhubung catatan blognya yang menimbulkan persoalan mengenai status kesihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.- MalaysiaGazette