Kajian Ilham Centre bahawa parti Warisan akan menang PRK Kimanis sangat meleset.

KUALA LUMPUR – Badan penyelidik Ilham Centre merumuskan Perikatan Nasional (PN) dan Kerajaan Perpaduan mempunyai peluang seimbang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang akan berlangsung esok.

Menurut badan berkenaan, persaingan PRK tersebut kekal sengit dan marginal dengan kedua-dua parti iaitu PH-BN (Kerajaan Perpaduan) dan PN mempunyai peluang 50-50 untuk keluar sebagai pemenang pertembungan itu.

Bagaimanapun, katanya, jika PH-BN berupaya memujuk pengundi etnik Cina keluar mengundi, gabungan parti itu berpotensi merampas semula DUN Sungai Bakap  daripada PN sekiranya perbezaan peratusan keluar mengundi etnik Melayu dan Cina tidak melebihi 15 peratus.

“Jika sebaliknya, PN akan mengekalkan status quo sebagai pemenang kerusi ini,” katanya dalam dapatan kajian yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook badan itu hari ini.

Dalam pada itu, badan tersebut turut merumuskan terdapat tiga faktor penting yang bakal menentukan keputusan PRK DUN Sungai Bakap esok.

Katanya, faktor itu adalah kadar keluar mengundi pemilih etnik Cina; sikap pengundi teras UMNO dan ayunan pengundi muda.

“Selain tiga faktor utama tersebut, pemboleh ubah dan faktor lain masih lagi sama seperti senario PRN 2023 yang dijangka tidak akan memberi pengaruh besar untuk merubah keputusan PRK ini,” katanya.

Tambahnya, sebahagian pengundi etnik Cina yang ditemui memberi isyarat untuk tidak keluar mengundi, begitu juga anak-anak mereka yang menetap di bahagian pulau walaupun jaraknya berdekatan.

“Namun senario ini tidak berlaku secara blok, sebahagian lagi pengundi etnik Cina tetap memberi komitmen untuk keluar membuang undi,” katanya.

Jelas badan itu, tinjauan terhadap pengundi teras UMNO pula menunjukkan sebahagian mereka masih akan menyokong PN, namun sebahagian lagi masih dalam dilema dan masih berkira-kira.

“Walau apa keputusan mereka nanti, pendekatan UMNO untuk mendampingi semula pengundi mereka semakin diterima,” katanya.

Tambah badan itu, berbanding PRN lepas yang menyaksikan anak muda Melayu secara gerombolan menyokong PN, situasi tersebut berubah dengan ketara dalam PRK Sungai Bakap kali ini.

“Walaupun pemerhatian menunjukkan mood sokongan pengundi muda masih kuat terhadap PN, namun kekuatannya mula berkurang dan tidak sekuat sewaktu gelombang hijau berada di puncak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast