KLUANG – Rasionalisasi petrol sekiranya dilaksana nanti akan menjadi penyebab harga barang terus naik dan menyebabkan rakyat terus menderita.
Bendahari Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, kuasa beli rakyat akan terkesan sekali gus memberi kesan terhadap ekonomi negara.
Menurutnya, lebih membimbangkan keadaan menjadi tidak terkawal sehingga merencatkan pertumbuhan ekonomi negara selepas melalui proses sukar semasa Covid-19.
“Kenyataan sebelum ini harga barang-barang keperluan tidak akan dinaikkan selepas penyelarasan subsidi diesel adalah tidak benar dan kini sudah pun berlaku.
“Kenaikan itu tidak ketara namun realitinya tetap berlaku dan kos sara hidup rakyat meningkat serta membebankan apatah lagi bagi keluarga yang berkeluarga besar dengan pendapatan yang rendah,” katanya ketika ditemui pemberita.
Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, penyasaran semula subsidi petrol RON95 tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Belum ada kertas dasar yang boleh membawa kita untuk melaksanakannya (rasionalisasi subsidi RON95) dengan cepat. Ada kajian dari dulu, tetapi kita fikir lebih baik lihat dulu langkah (penyasaran) ke atas elektrik dan diesel.
“Lihat dulu kesannya dan bagaimana reaksi rakyat. Barulah (selepas itu) kita sedia berunding apakah (ada) keperluannya,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Mohd Rashid berkata, langkah tersebut bukan sahaja tidak sesuai tetapi juga menambah beban rakyat yang kini berdepan masalah bekalan beras putih tempatan ‘hilang’ di pasaran dan kekurangan minyak masak peket.
Katanya yang juga Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, ketiadaan bekalan tersebut ditambah dengan kenaikan harga barang selepas penyelarasan diesel memberi kesan besar terhadap kuasa beli pengguna.
“Pada masa ini kos sara hidup sudah pun sudah naik sehingga 70 peratus daripada kadar biasa sebelum ini apabila rakyat perlu berbelanja lebih semata-mata untuk mendapatkan beras,” katanya.
Sebagai contoh katanya, keadaan tersebut boleh dilihat penghantaran beras tempatan ke pasar raya serta kedai runcit di bandar ini yang tidak cukup dan mampu bertahan antara tiga hingga empat jam sahaja.
Ujarnya, keadaan itu berlaku apabila hanya sekitar 200 kampit yang setiap satu seberat 10 kilogram dihantar ke bandar ini satu atau dua kali sebulan sahaja.
“Lebih malang lagi peniaga kedai runcit yang hanya menerima antara 10 hingga 50 kampit untuk sekali penghantaran dengan kekerapan dua kali sebulan,” katanya. – MalaysiaGazette