LONDON – Manchester mengesahkan Erik ten Hag telah menandatangani kontrak lanjutan yang akan menyaksikan dia kekal di Old Trafford hingga penghujung musim 2025-26.
Pengendali kelahiran Belanda itu gembira kerana dia telah mencapai persetujuan dengan kelab untuk terus bekerjasama dengan sebuah kelab yang hebat di England.
“Kami patut berbangga dengan dua trofi dan banyak contoh kemajuan berbanding ketika saya mula tiba di sini sejak dua tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan di laman web kelab.
Sebelum ini, jawatan Ten Hag kelihatan terancam berikutan United menamatkan saingan di tempat kelapan musim lalu yang juga merupakan penamat terendah kelab itu dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Namun, kemenangan 2-1 ke atas Manchester City dalam perlawanan akhir Piala FA selain faktor kekurangan pilihan pengurusan handalan bermakna United sebaliknya memutuskan untuk mengekalkan pengurus dari Belanda itu.
Ten Hag menambah, dia bagaimanapun sedar bahawa masih perlu bekerja keras untuk mencapai tahap seperti yang diinginkan United, iaitu mencabar gelaran Inggeris dan Eropah.
“Dalam perbincangan saya dengan kelab, kami telah menemui perpaduan yang lengkap dalam visi kami untuk mencapai matlamat tersebut dan kami semua sangat komited untuk mencapainya bersama-sama,” katanya. – Agensi