KUCHING- Anggota Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) yang dilaporkan hilang ketika menyertai Op Ukur bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) di sempadan Malaysia-Brunei di Limbang, ditemui selamat hari ini.
Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia memaklumkan, Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim ditemui selamat kira-kira pukul 11.29 pagi tadi oleh kumpulan carilamat (SAR) setelah 17 hari operasi tersebut dilancarkan.
Katanya, mangsa berjaya menjejaki tanda-tanda panduan laluan rintis pencarian yang sengaja dibuat di sekitar lokasi pencarian sehingga berjaya menemui lokasi Forward Operating Base (FOB) Tim A.
“Beliau ditemui dalam keadaan selamat lengkap bersama peralatan dan senjata namun lemah akibat kelaparan dan dehidrasi.
“Beliau seterusnya diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan di lokasi untuk pemeriksaan lanjut,” katana dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tambah kenyataan itu, keluarga Muhammad Syafiq Hilmi telah dihubungi oleh pihak Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi panggilan telefon dan akan diterbangkan ke Sarawak dalam masa terdekat dengan semua perbelanjaan perjalanan akan ditanggung sepenuhnya oleh TDM.
Katanya, TDM juga akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengena lpasti punca sebenar kejadian dan sebagai penambahbaikan kepada Standard Operating Procedure (SOP) sedia ada.
“Dengan penemuan Prebet Syafiq dalam keadaan selamat, maka operasi SAR ini ditamatkan,” katanya.
Tedahulu, Sel Perhubungan Raya Tentera Darat melaporkan, mangsa menyertai Op UKUR sebagai pengiring keselamatan kepada pasukan JUPEM yang sedang melaksanakan penandaan dan pengukuran sempadan Malaysia-Brunei Darussalam di kawasan pengukuran Ulu Tutong (E500) ke Bebuloh (E600), Limbang mulai 11 Jun hingga 2 September 2024.
Ketiadaan mangsa dikesan pada 18 Jun lalu ketika ketua kumpulan mendapati anggota berkenaan tiada di posisi belakang kumpulan. – MalaysiaGazette