Kalamullah Al-Hafiz. Foto FB KDA FC.

KUALA LUMPUR – Kejayaan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mara ke separuh akhir Piala FA malam tadi tidak dapat dinafikan dibantu kecemerlangan penjaga golnya, Kalamullah Al-Hafiz yang mendapat pujian ramai.

Sang Kenari menewaskan Penang FC menerusi keputusan agregat 1-0 selepas Kedah terikat dengan keputusan 0-0 menentang Penang di Stadium Darul Aman di mana satu jaringan pada perlawanan pertama sudah cukup untuk membawa Sang Kenari ke separuh akhir.

Perlu diakui, Kedah menerima asakan hebat daripada Harimau Kumbang namun prestasi terbaik Kalamullah ketika ini menafikan percubaan merbahaya pelawat.

Malah ada peminat bola sepak yang menyifatkan penjaga gol berusia 28 tahun itu sudah kembali ke zaman kegemilangannya bersama Petaling Jaya City sebelum ini.

“Tahniah buat pasukan Sang Kenari kembali ke pentas Separuh Akhir selepas kali akhir melakukannya lima tahun lepas.

“Namun, prestasi yang dipamerkan dibahagian benteng akhir KDA FC, harus dipuji dengan menjadi tunjang menangkis asakan lawan dalam beberapa perlawanan lepas. Walaupun mengalami prestasi terumbang ambik musim lepas di tahun kedua di bawah gandingan Coach Yazid dan Coach Hadi, Kalamullah bangkit membuktikan beliau antara penjaga gol terbaik kebangsaan.

“Selain dari barisan kejurulatihan, pegawai pasukan dan pemain yang bertungkus lumus memastikan kemenangan Sang Kenari, antara faktor saban kemenangan dicatat adalah kebangkitan Kalamullah Al-Hafiz beraksi cemerlang dan tangkas menghalang setiap cubaan dalam situasi wajib gol penyerang lawan,” tulis laman Facebook KDA FC yang turut memberi penghargaan.

Kedah akan melayani kunjungan JDT pada 20 Julai di Stadium Darul Aman sebelum Sang Kenari terbang ke Stadium Sultan Ibrahim, Johor seminggu selepas itu. – MalaysiaGazette

Kalamullah Al-Hafiz (dua dari kiri). Foto FB KDA FC.