JOHOR BAHRU – Kekalahan calon kerajaan Perpaduan dalam dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap semalam didakwa berpunca daripada isu-isu nasional terutama kesan keputusan penyasaran subsidi diesel.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, keputusan itu menunjukkan isyarat jelas penolakan rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan Madani seperti cukai dan penyasaran subsisi diesel.
“Penerimaan rakyat termasuk di Sungai Bakap dalam isu diesel tersebut sangat merugikan calon PKR. Rakyat marah kerana kenaikan harga diesel menyebabkan kenaikan harga barangan yang lain menjadikan kos sara hidup semakin tinggi.
“Naratif politik pun tidak begitu baik apabila subsidi diesel ditarik balik sebahagiannya selepas langkah kerajaan menaikkan cukai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST)
daripada 6 kepada 8 peratus bagi sesetengah barang,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Perikatan Nasional (PN) berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dengan majoriti 4,267 undi.
Bekas eksekutif lojistik itu memperoleh 14,489 undi, menewaskan Dr Joohari Ariffin yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara yang meraih 10,222 undi.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, calon Pakatan Harapan (PH) itu menerima kesan daripada dasar-dasar Kerajaan Perpaduan dan kekalahan itu juga didakwa mempunyai kaitan daripada pendedahan laporan Ketua Audit Negara tentang penyelewengan dan ketirisan 11 projek syarikat Kerajaan Perpaduan.
Jelas beliau, ini dibentangkan dua hari sebelum hari mengundi dan semua itu berlaku pada masa kerajaan sekarang sekali gus mudah sahaja bagi pengundi di Sungai Bakap menyimpulkan bahawa tiada beza kerajaan sekarang dengan kerajaan- kerajaan terdahulu.
Katanya lagi, walaupun Pakatan Harapan (PH) menampilkan Dr Joohari iaitu seorang calon yang bersih dan berintegriti dengan kelulusan tinggi serta layak menjadi wakil rakyat, kelebihan itu tetap ditolak pengundi.
Bukan itu sahaja katanya, apabila langkah berani dan lantang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di persada antarabangsa membela rakyat Palestin di Gaza juga tidak memberi kesan.
Hassan berpendapat, semuanya berlaku apabila Anwar yang juga Menteri Kewangan serta Pengerusi Khazanah Nasional bersetuju menjual sebahagian saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat Global Infrastructure Partners (GIP) dari Amerika Syarikat yang dikuasai BlackRock iaitu sebuah syarikat pelaburan antarabangsa yang kuat menyokong kerajaan Israel.
“Malang sungguh kepada calon PKR pertama kali itu terpaksa memikul dosa PKR yang dikatakan telah memungkiri janji reformasi mereka. Saya lihat PKR kalah di Sungai Bakal dalam isu naratif nasional.
“Dasar-dasar mengenai cukai dan subsidi ini diputuskan di Putrajaya. Tetapi kesan yang terpaksa dipikul ialah kekalahan calon PKR di Sungai Bakap,” katanya.
Menurutnya, jika kerajaan Perpaduan khususnya PKR dan PH selepas ini tidak membina naratif nasional yang betul dan bukan bercakap sahaja tetapi melaksana dasar yang banyak memberi manfaat kepada golongan B40 dan M40, mereka akan memihak kepada kerajaan sedia ada.
Keadaan itu katanya, akan berlaku antaranya apabila rakyat dapat membeli beras putih tempatan dengan harga berpatutan, kos sara hidup seharian semakin ringan, inflasi menurun dan gaji pekerja bertambah sehingga rakyat boleh menarik nafas lega.
Kata Hassan, tidak wajar menyalahkan Anwar atau Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kekalahan itu disebabkan mereka bergabung dalam Kerajaan Perpaduan yang dianggap reformasi politik yang ‘songsang’.
“Jadi tidak hairan jika pengundi-pengundi di saluran 5, 6 dan 7 dalam PRK Sungai Bakap menolak calon PKR daripada PH yang mewakili kerajaan Perpaduan,” ujarnya.
Kekalahan dalam PRK tersebut katanya, mempunyai hikmah untuk PKR dan PH serta mempunyai masa tiga tahun lagi sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 bagi memperbaiki strategi dan naratifnya. – MalaysiaGazette
















Punca kekalahan ialah Rapizi…dia ni lah yg merosakkan kerajaan dan negara