KUALA LUMPUR – Sentimen pengundi di Dewan Undangan Sungai Bakap masih memihak Perikatan Nasional (PN) kerana pelbagai isu antaranya, BlackRock dan penyasaran subsidi diesel yang digunakan dengan berkesan oleh pembangkang semasa kempen pilihan raya kecil.
Pendekatan bertanggungjawab kerajaan dalam melakukan penyasaran subsidi diesel bersasar masih sukar diterima rakyat.
Penganalisis Sosiopolitik, Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, penyasaran subsidi diesel dilihat turut menjadi punca tidak ramai pengundi Cina yang keluar mengundi kerana kaum itu banyak terlibat dalam perdagangan pengangkutan besar.
“Faktor ini menimbulkan ketidakpuasan mereka,” katanya yang menyifatkan rakyat dilihat mahu lebih banyak pendekatan populis meskipun ia boleh memudaratkan ekonomi negara jangka panjang.
Selain itu, kekalahan calon kerajaan disebabkan undi simpati kepada penyandang sebelum ini yang pernah berkhidmat dan kemudian meninggal dunia, sekali gus memberikan sentimen yang tinggi.
Ini ditambah lagi dengan pemilihan Abidin Ismail sebagai calon PN yang lebih dikenali kerana sentiasa bersama penyandang kerusi tersebut sebelum ini.
Isu tempatan seperti isu air juga menjadi ‘api dalam serkam’ yang dilihat tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri.
Selain itu, kos hidup tinggi dirasai rakyat, diletakkan beban terhadap Kerajaan Perpaduan meskipun isu ini sentiasa berlaku tanpa mengira kerajaan yang memerintah.
Namun, pada masa sama, Awang Azman berkata, pemilihan Abidin kerana pengundi mahu semak dan imbang diteruskan.
“Kemenangan PN akan dapat membawa suara bagi pastikan semak dan imbang terus berlaku di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau menyarankan jentera-jentera penerangan kerajaan lebih proaktif dalam menjayakan komunikasi politik berkesan hingga ke peringkat bawah.
“Sebelum melakukan pembaharuan seperti penyasaran subsidi perlu ada townhall, pihak pelbagai agensi perlu pastikan dapat menggerakan penerangan dengan lebih menyakinkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette















