Wisma Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) di Bukit Damansara. Foto SYADILA AMARI, 09 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengambil tindajan terhadap pengurusan tertinggi Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) khususnya ketua pegawai eksekutif (CEO) susulan isu tadbir urus agensi itu yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) minggu lalu.

Hasan Karim (PH-Pasir Gudang) menggesa CEO HRD Corp digantung tugas sementara selain mendesak Menteri Sumber Manusia, Steven Sim bertindak segera ke atas CEO agensi di bawah kementeriannya.

“Gantung kerja atau tamatkan pihak pengurusan iaitu CEO berkaitan sebab beliau memegang dua jawatan, berada dalam lembaga pengarah dan panel pelaburan,” katanya ketika membahaskan usul LKAN 2/2024 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sementara itu, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) pula menyarankan CEO diarah mengambil cuti sementara bagi membolehkan siasatan melibatkan syarikat itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ini berjalan dengan lancar.

“Saya mahu cadangkan, ini bukan menyentuh peribadi. Saya nak cadangkan perlu ada tindakan supaya CEO diberi cuti sementara siasatan sedang dijalankan. Kerana kita tahu bahawa ini juga untuk memulihkan keyakinan rakyat serta pencarum terhadap HRD Corp.

“Harus ada tindakan supaya siasatan dapat dilaksanakan. Kalau betul-betul top management (pengurusan tertinggi) dan CEO tidak bersalah, tiada masalah, boleh kembali (dibenar bertugas). Tapi pada waktu sekarang, biarlah dulu agensi penguat kuasa laksana tugas mereka,” katanya.

Pada minggu lalu, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam LKAN 2/2024 mengesyorkan supaya pengurusan HRD Corp dirujuk kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan ekoran kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.

Wan Suraya berkata, terdapat tindakan serta keputusan diambil pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat itu dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti.

Susulan itu, hari ini penyiasat SPRM hadir ke HRD Corp dan KESUMA bagi mengambil beberapa dokumen dipercayai bagi membantu siasatan terhadap isu yang didedahkan LKAN itu. – MalaysiaGazette