Enam lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, Kulai hari ini atas dakwaan menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki

KULAI – Enam lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki di Senai di sini pada 7 Oktober lalu.

Semua tertuduh yang berusia antara 32 hingga 40 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan jurubahasa depan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi.

Tertuduh tersebut adalah Justin Ngu Zhing Xin, 28, Lau Tzy Teck, 36; Wai Kar Chung, 32; Liaw Kok Beng, 34; Yee Vui Ming, 40 dan Teh Yeung Tatt, 28.

Mereka didakwa bersama-sama pukul 1.38 tengah hari pada 7 Oktober lalu di tepi jalan lapangan terbang, Senai yang mempunyai niat bersama sengaja menyebabkan kecederaan atas Ng Kim Hoe, 33.

Mereka didakwa menggunakan suatu alat yang jika digunakan sebagai senjata untuk melakukan kesalahan mungkin menyebabkan kematian iaitu batang rotan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Jika disabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Othman Affan Ismail manakala kesemua tertuduh diwakili peguambela, Muhammad Mohd Nasir.

Majistret Azureen menetapkan 7 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Semua tertuduh masing-masing dibenarkan untuk diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Kesemua tertuduh diminta tidak mengganggu mangsa atau saksi.

Terdahulu, tular video berdurasi 17 saat memaparkan sekumpulan lelaki memukul seorang lelaki lain menggunakan kayu di tepi jalan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS).

Mereka juga menendang mangsa yang berbaju dan berseluar pendek warna hitam itu berulang-kali.

Kejadian yang dirakam pengguna jalan raya itu dipercayai memperlahankan trafik memandangkan beberapa kereta dipercayai dinaiki suspek berhenti di jalan.

Hasil siasatan, kejadian di berlaku pada pukul 1.30 tengah hari pada 7 Oktober lalu.

Dipercayai mangsa dan suspek yang saling tidak mengenali mula berselisih faham dan tegur-menegur antara satu sama lain ketika di Lapangan Terbang Miri, Sarawak.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast