ARKIB Suar yang dilepaskan oleh tentera Israel di utara Nuseirat digambarkan dari Deir el-Balah di tengah Semenanjung Gaza lewat pada 1 Julai 2024 di tengah-tengah konflik yang berterusan di wilayah Palestin antara Israel dan Hamas. Foto AFP

BAITULMAQDIS- Tentera Israel pada Isnin mengaku telah menyerang “beberapa pengganas” di tengah Gaza yang didakwa menggunakan sekolah di kawasan Nuseirat sebagai tempat perlindungan.

“Berdasarkan risikan dan penggunaan peluru yang tepat, pasukan tentera udara Israel telah menyerang beberapa pengganas yang sedang melakukan aktiviti keganasan, menggunakan struktur sebuah sekolah di kawasan Nuseirat sebagai tempat persembunyian,” katanya dalam satu kenyataan.

Sumber di hospital Al-Awda, Nuseirat memberitahu AFP, mereka menerima beberapa individu yang cedera untuk dirawat selepas serangan terhadap sekolah yang dikendalikan oleh agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk pelarian Palestin (UNRWA).

Menurut tentera Israel, Hamas dan Islamic Jihad “telah melanggar undang-undang antarabangsa secara sistematik,” dengan mempergunakan struktur awam dan populasi sebagai perisai manusia bagi melaksanakan serangan terhadap negara Israel.

Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan Gaza berkata, 16 terbunuh dalam serangan Israel terhadap perumahan sekolah di Nuseirat yang didiami orang awam.

Pada masa sama, teter Israel berkata, pesawatnya mensasarkan “pengganas” yang beroperasi sekitar sekolah Al-Jawni di Nuseirat, yang dikendalikan UNRWA.

Perang di Gaza memasuki bulan kesepuluh Ahad ini.- AFP