Petugas dari Jabatan Kesihatan Majlis Perbandaran Klang membuat semburan kabus nyamuk Aedes yang menjadi punca kepada penyakit denggi di sebuah kawasan perumahan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Meru, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 14 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Jumlah kes demam denggi meningkat 2,788 kes antara 23 hingga 29 Jun 2024 berbanding 2,438 pada minggu sebelumnya dengan lima kematian akibat komplikasi demam denggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hasaan berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-26 adalah sebanyak 75,263 kes berbanding 59,057 bagi tempoh sama tahun 2023.

Manakala terdapat 60 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 40 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2023.

Menurutntya, bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada minggu tersebut sebanyak 78 lokaliti berbanding 81 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

Daripada 78 lokaliti yang dilaporkan, 61 lokaliti di Negeri Selangor, Perak (5), Kedah (4), Negeri Sembilan (3) dan masing-masing dua kes di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Sarawak dan satu di Pulau Pinang.

Bagi survelan chikungunya, terdapat tiga kes direkodkan pada minggu tersebut.

Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 41 kes.

Bagi survelan zika pula, sebanyak 1,282 sampel darah, tujuh sampel urin dan tiga sampel cecair tulang belakang telah dijalankan saringan zika dan
hasil kesemuanya adalah negatif. – MalaysiaGazette