Mohd Shuhaily mengadakan sidang akhbar berkenaan penyerahan empat suspek warga Singapura bagi kes judi kepada polis Singapura, pada sidang akhbar di BSI, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Polis Malaysia menyerahkan empat suspek warga Singapura terlibat aktiviti kumpulan jenayah terancang dalam pertaruhan judi haram yang ditahan awal bulan ini kepada Pasukan Polis Singapura (SPF) untuk siasatan lanjut.

Penyerahan tersebut dilakukan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kepada Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis (Siasat dan Risikan) SPF dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah SPF, Deputi Komisioner Zhang Weihan pada hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, kesemua suspek lelaki yang berusia 41 hingga 60 tahun itu diserahkan selepas mereka membayar sejumlah denda yang dikenakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953, pada semalam.

“Hasil perkongsian maklumat daripada SPF, pada 1 Julai lalu kita lancarkan tiga serbuan di tiga lokasi berasingan di Pangsapuri sekitar bandar raya ini dan menahan enam individu iaitu empat lelaki warga Singapura dan dua wanita warga tempatan berusia 29 dan 34 tahun.

“Dalam maklumat yang kita dapat hasil siasatan suspek terlibat dalam satu sindiket judi dalam talian yang melibatkan taruhan 4D, perjudian kuda haram yang mana ia dilakukan (pemain) di Singapura, namun pusat pengiraan di Malaysia iaitu yang merekodkan segala taruhan,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini hari ini.

Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan tidak menggunakan perkhidmatan talian Malaysia dan mereka tiada dalam pemantauan polis Malaysia atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana berada di sempadan Johor- Singapura.

Untuk itu katanya, suspek berkenaan menggunakan perkhidmatan talian Singapura serta beberapa laman sesawang yang dikenal pasti sebagai tempat menerima taruhan.

“Ini antara kaedah untuk mengelirukan pihak penguat kuasa, maknanya satu beroperasi di negara lain dan satu lagi beroperasi di negara lain juga,” katanya.

Menurut Shuhaily, empat warga Singapura yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah, perjudian tanpa lesen, kongsi gelap dan merusuh.

Katanya, dua wanita warga tempatan yang ditahan berperanan sebagai menguruskan transaksi perjudian terbabit.

“Hari ini kita serah empat suspek warga Singapura kepada SPF, untuk makluman semua sudah dijatuh hukuman denda, jadi mereka ditahan atas waran untuk diserahkan kepada pihak Singapura.

“Dalam konteks risikan kita akan kongsikan bersama pihak Singapura kerana kes induk di Singapura, jadi mereka (Singapura) yang akan lengkapkan siasatan dan apa juga informasi yang kita terima kita boleh siasat,” katanya.

Pada 1 Julai lalu, Polis Singapura dan Malaysia berjaya menumpaskan operasi kumpulan penjenayah terancang dengan menahan 43 orang disyaki terbabit dalam pertaruhan judi haram.

Pada masa sama, pegawai polis Malaysia turut menahan empat lelaki warga Singapura.

SPF mengeluarkan perintah larangan pelupusan untuk tujuh hartanah dengan anggaran bernilai lebih SGD$10.7 juta (RM37.02 juta).

Wang tunai, barang kemas, jam tangan mewah dan lebih 40 akaun bank dengan jumlah anggaran hampir SGD$4 juta (RM13.84 juta) turut dirampas untuk siasatan dan bagi mengelakkan hasil jenayah yang disyaki hilang. – MalaysiaGazette