Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

KUALA LUMPUR – Perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 membolehkan perhatian dan pengamatan mendalam semua pihak dapat diberikan bagi mendokong hasrat kerajaan mewujudkan tadbir urus sektor awam lebih baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, selain penelitian di bawah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), perbahasan di Parlimen akan memberi kesan positif antaranya isyarat jelas kepada semua pentadbir dana awam termasuk pihak yang dilantik untuk mengurus badan berkanun, pihak berkuasa awam dan syarikat kerajaan.

“Dewan ini serius dalam memerangi kecurangan, kebocoran dan kelemahan tatakelola yang boleh membawa kepada ketirisan yang merugikan kerajaan.

“(Perbahasan juga akan) menjadi faktor pencetus pihak berkaitan untuk mengambil tindakan wajar dan seterusnya mempercepatkan penyelesaian isu yang dibangkitkan oleh LKAN,” katanya.

Beliau membentangkan usul LKAN itu sebelum disokong timbalannya, M Kulasegaran di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Azalina menambah, sesi perbahasan juga mampu memupuk budaya bertanggungjawab dan ketelusan dalam semua aspek pentadbiran awam seiring dengan usaha mentransformasikan Dewan Rakyat yang berperanan sebagai semak dan imbang kepada kuasa eksekutif.

“Perdana Menteri menegaskan bahawa semua menteri bertanggungjawab selaras dengan Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan yang sedang berkuatkuasa mesti meneliti setiap teguran yang dibangkitkan Ketua Audit Negara dalam LKAN 2024 ini terutama membabitkan perkara berulang yang masih berlaku ditangani secara tuntas oleh pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

LKAN yang dikeluarkan minggu lalu dibahaskan di Dewan Rakyat bermula hari ini bagi membuka ruang kepada 52 ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang, membahas dan membuat teguran serta cadangan penambahbaikan kepada perkara yang disentuh dan dibangkitkan dari laporan dikeluarkan Jabatan Audit Negara itu.

Perbahasan juga seiring komitmen ahli Dewan Rakyat serta usaha kerajaan minggu lalu meluluskan Akta Audit 1957 (Akta 62), yang tidak pernah dipinda sejak 33 tahun lalu atau kali terakhir pindaan dibuat pada 1991.

Sesi perbahasan LKAN di Dewan Rakyat pertama kali dilaksana oleh kerajaan pada Jun tahun lalu. – MalaysiaGazette