Datuk Yahya Ahmad

JOHOR BAHRU – Cadangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat nanti tidak perlu ditolak atau dipertikaikan mana-mana pihak.

Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, ini kerana pindaan itu terutama melibatkan empat tujuan akan memperkukuhkan lagi kedudukan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah bukan sahaja di Wilayah Persekutuan tetapi Malaysia secara amnya.

“Natijahnya, alhamdulillah dengan izin Allah fahaman ekstrem akan dapat dibendung dan ajaran yang bertentangan dengan syariat Islam dapat dibanteras,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, katanya, Johor menyokong penuh pembentangan rang undang-undang berkenaan kerana negeri ini sejak 2015 telah melaksanakan pindahan Seksyen 2, Enakmen Pentadiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 berhubung takrifan hukum syarak.

“Ertinya daripada segi pegangan akidah hendaklah berdasarkan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Martudiah daripada syariah mengikut Mazhab Shafie,” ujarnya.

Sekiranya dalam keadaan tertentu, katanya, boleh mengikut Mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali atau melalui ijtihad hukum yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa selepas diperkenan raja sebelum diwartakan.

Yahya berkata, penekanan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asyairah dan al-Martudiah di negeri ini juga sentiasa disebut dalam khutbah Jumaat setiap minggu.

Pada masa sama, katanya, syarat utama kelulusan dan pemberian tauliah memberi syarahan agama di negeri ini perlu berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asyairah dan al-Martudiah.

Media sebelum ini melaporkan Ahli Majlis Syura Persatuan Guru-Guru Pondok Kelantan, Dr Muna Hamzan berkata, semua Ahli Parlimen beragama Islam wajib menyokong RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 apabila usul itu dibawa ke Dewan Rakyat.

Beliau dipetik berkata, sokongan itu bagi memastikan RUU berkenaan diluluskan Parlimen seterusnya dikuatkuasakan bagi memelihara institusi raja-raja dan mengekang elemen radikalisme dalam negara.

Muna berkata, RUU Mufti itu mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada sudut akidah bersumberkan aliran Al-Asyairah, Al-Maturidiah dan fiqh Mazhab Syafie dengan meraikan tiga mazhab lain.

Pada masa sama, katanya, ia dilihat selari dengan enakmen undang-undang pentadbiran Islam di negeri-negeri Malaysia yang berpaksikan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Minggu lalu, Jabatan Mufti Perak dalam satu kenyataan, turut senada bahawa RUU berkenaan wajib disokong bagi menjamin kesejahteraan umat Islam di negara ini. – MalaysiaGazette