KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) membentangkan penemuan dan dapatan hasil audit bebas terhadap Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) kepada pihaknya.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pembentangan itu perlu dilakukan apabila Kesuma dan HRD Corp dipanggil semula untuk prosiding tindakan susulan pada September nanti.
“PAC menyambut baik atas tindakan proaktif Menteri Sumber Manusia, Steven Sim melaksanakan pengauditan bebas terhadap HRD Corp berkaitan penemuan yang dilaporkan PAC dan Jabatan Audit Negara (JAN).
“PAC dimaklumkan Kesuma akan melantik firma audit bebas pada 31 Julai 2024 untuk melaksanakan pengauditan terhadap HRD Corp dan ia adalah langkah tepat yang diambil dalam mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada Syarikat Jaminan Kerajaan (CLBG) itu.
“Langkah proaktif Kesuma itu membuktikan bahawa Menteri Sumber Manusia baru-baru ini, berpegang kepada janji untuk tidak menyembunyikan sebarang kebenaran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Mas Ermieyati berkata, walaupun perkara yang dilaporkan PAC dan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bukan ketika Sim menjadi Menteri di KESUMA, tetapi kesanggupan beliau untuk membuat keputusan melantik firma audit melakukan pengauditan berdasarkan penemuan PAC dan JAN perlu menjadi contoh kepada menteri lain.
Terdahulu, Sim dalam satu kenyataan semalam mengumumkan, Kesuma akan melantik juruaudit profesional sebagai pihak ketiga bagi melakukan audit bebas ke atas HRD Corp.
Tindakan itu diambil bagi memastikan ketelusan dalam proses berkenaan.
Katanya, audit bebas akan meneliti segala proses, prosedur, dokumentasi dan kepatuhan terhadap undang-undang serta sebarang garis panduan dalam isu dibangkitkan dalam laporan JAN dan PAC. – MalaysiaGazette