Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Foto MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mempelawa permohonan untuk kohort kedua program FIKRA ACE Accelarator (program pemacu FIKRA ACE), selaku sebahagiandaripada inisiatif FIKRA ACE.

Dilancarkan pada 2023, FIKRA ACE1 ialah inisiatif yang dijalankan selama tiga tahun untuk memajukan Pasaran Modal Islam (ICM) melalui penyelesaian teknologi kewangan Islam yang inovatif.

Program ini terdiri daripada komponen Accelerator, Circle dan Excel.

Berikutan kejayaan kohort pertama tahun lepas, SC kini mempelawa permohonan untuk kohort bagi tahun 2024. FIKRA Accelerator menyediakan platform untuk syarikat pemula (startup) bagi membangunkan penyelesaian inovatif, bermula daripada idea kepada produk yang berdaya maju minimum.

Program berstruktur selama lapan minggu itu terdiri daripada bengkel, program bimbingan, rangkaian sosial, dan pemudahan pembiayaan.

SC berkata, Program Accelerator dijangka bermula pada bulan Ogos, dibuka kepada individu atau syarikat yang mempunyai kehadiran pasaran kurang daripada tiga tahun.

Permohonan terbuka kepada pemohon tempatan dan antarabangsa.

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) merupakan rakan kongsi ekosistem tempatan yang strategik untuk program tersebut. MDEC akan terus menyokong syarikatpemula yang mengambil bahagian dalam program ini dengan infrastruktur, sumber dan pengetahuan pasaran untuk meningkatkan perniagaan mereka dengan lebih berkesan.

FIKRA dilancarkan pada tahun 2021 sebagai sebahagian daripada inisiatif SC untuk meningkatkan ekosistem ICM. Sebagai kesinambungan, SC kini menganjurkan FIKRA ACE, inisiatif tiga tahun untuk memudahkan pembangunan fintech Islam melalui
pendekatan berstruktur.

Dua pemenang sebelum ini ialah Global Psytech, yang memberi tumpuan kepada membina sistem pemarkahan kredibiliti untuk kewangan Islam, kewangan sosial dan rangkuman kewangan serta pewarisan, syarikat permulaan fintech yang menyediakan
penyelesaian untuk perancangan warisan Islam.

SC juga akan bekerjasama dengan Islamic Development Bank, yang merupakan rakan kongsi ekosistem global, untuk membantu meningkatkan kandungan program dengan pandangan dan perspektif antarabangsa.

Mereka yang berminat digalakkan untuk mendaftar mulai hari ini sehingga 31 Julai 2024 di https://www.sc.com.my/fikra-ace/accelerator. – MalaysiaGazette