PUTRAJAYA – Seorang majikan lelaki diperintahkan untuk membuat permohonan maaf selepas didapati melakukan gangguan seksual ke atas seorang wanita yang merupakan pekerjanya .
Tribunal Bagi Antigangguan Seksual (TAGS) mengarahkan lelaki itu, yang merupakan responden membuat permohonan maaf dalam tempoh 60 hari dari tarikh pertama pendengaran pada 23 Mei lalu.
Awards tersebut selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 19(1) Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840].
“Setelah mempertimbangkan keterangan dan bukti yang dikemukakan, TAGS mendapati pengadu telah berjaya membuktikan responden telah melakukan gangguan seksual ke atasnya.
“Justeru, TAGS memerintahkan responden untuk membuat pernyataan permohonan maaf sebagaimana yang telah dipohon oleh pengadu,” kata TAGS menerusi kenyataan hari ini.
Awards tersebut dikeluarkan TAGS yang bersidang di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Putrajaya bagi aduan pertama melibatkan gangguan seksual secara fizikal.
TAGS menyediakan satu saluran alternatif kepada mahkamah sivil untuk mengendalikan aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah dan kos yang minimum.
Sehubungan itu TAGS menyeru, mangsa gangguan seksual untuk tampil membuat aduan di kaunter Tribunal bagi Antigangguan Seksual, KPWKM Putrajaya atau menghubungi talian kasih 15999 untuk sebarang pertanyaan.
Untuk rekod tribunal berkenaan ditubuhkan Oktober tahun lalu selepas Akta Anti Gangguan Seksual 2022 (Akta 840) dikuatkuasakan secara berperingkat mulai 28 Mac 2023.- MalaysiaGazette