Kenderaan mewah yang dirampas dari sebuah kondo mewah di Kajang pada 1 Julai lalu. Ihsan IPD Cheras

KUALA LUMPUR – Seorang juruhias majlis yang aktif mengedar dadah di sekitar daerah Cheras sejak tahun ini ditahan bersama dadah bernilai lebih RM77,000, kelmarin.

Tangkapan itu dibuat oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Cheras kira-kira 12 tengah hari di tepi jalan sekitar Cheras, dipercayai ketika mengedar dadah.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh berkata, pemeriksaan lanjut ke atas suspek berusia 40 tahun itu berjaya membawa pasukan kepada rampasan sejumlah dadah jenis Cannabis anggaran berat 22.675kilogram bernilai RM64,092 dan Erimin 5 seberat 27.75 gram berharga RM555

Hasil siasatan mendapati suspek menjadikan sebuah unit kondominium mewah dilengkapi kawalan keselamatan ketat dan berkamera CCTV sebagai tempat penyimpanan dadah.

Antara dadah yang dirampas dari juruhias majlis dalam serbuan polis Cheras 11 Julai lalu.IHsan IPD Cheras

“Semakan ke atas suspek mendapati dia tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau tetapi disahkan positif dadah jenis Benzo,” katanya dalam kenyataan tengah hari tadi.

Polis turut merampas wang tunai RM3,000 serta sebuah kereta jenis Honda Insight disyaki milik suspek.

Katanya, lanjutan daripada tangkapan pertama dan soal siasat lanjut ke atas suspek, pasukan polis membuat serbuan susulan di sebuah kondominium mewah di sekitar Kajang, Selangor.

“Hasil pemeriksaan di dalam unit kondominium itu membawa kepada penemuan dadah jenis Kanabis seberat 4.290 kilogram dianggarkan bernilai RM13,299 beserta sebuah kereta jenis Toyota Alphard dan kereta jenis Mini Cooper.

Antara dadah yang dirampas dari juruhias majlis dalam serbuan polis Cheras 11 Julai lalu.IHsan IPD Cheras

Secara keseluruhannya pasukan berjaya melakukan rampasan dadah bernilai RM77,947 dalam dua serbuan itu.

“Menerusi siasatan, kami juga percaya bekalan dadah itu diperolehi daripada pengedar tempatan di ibu negara untuk pasaran di sekitar Lembah Klang dan kes ini masih dalam siasatan lanjut.

“Suspek kini telah direman selama 6 hari sehingga 17 Julai ini di bawah Seksyen
117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan,” kata Ravindar Singh lagi.