Empangan Mengkuang Diperbesarkan.

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) terpaksa melepaskan air dari Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) di Seberang Perai susulan paras Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang dekat sini menurun di bawah dua meter selama empat hari berturut-turut sejak Khamis lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan berkata, pihaknya telah mula melepaskan purata 41 MLD sejak 13 Julai lalu untuk melengkapkan pengabstrakan air mentah dari Sungai Muda bagi mengekalkan perkhidmatan bekalan air yang baik di seluruh Pulau Pinang.

Katanya, air mentah dari EMD dan Sungai Muda disalurkan ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua dan air terawat daripada LRA ini dipam kepada kira-kira 465,000 pengguna di seluruh Seberang Perai, Daerah Timur Laut (DTL) dan Daerah Barat Daya (DBD).

“Pelepasan harian EMD ini juga memastikan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua terus mengeluarkan purata 1,026.59 JLH air terawat.

“Paras Sungai Muda di muka sauk PBAPP di Lahar Tiang turun di bawah paras selamat iaitu dua meter selama empat hari berturut-turut dari Khamis hingga semalam.

“Sehubungan itu, PBAPP telah mengabstrak purata 1,125.50 JLH air mentah dari Sungai Muda minggu lepas, berbanding 1196.13 JLH ketika keadaan normal. Selalunya lebih 80 peratus air mentah diabstrak PBAPP setiap hari datangnya dari sungai ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Pathmanathan, setakat semalam, kapasiti efektif EMD adalah 90.5 peratus dan dengan pelepasan yang boleh didapati daripada EMD, paras sungai Sungai Muda yang rendah sekarang seharusnya tidak memberi ancaman segera kepada bekalan air di Pulau Pinang.

“Bagaimanapun, PBAPP beroperasi dalam keadaan berwaspada dan memantau status Sungai Muda dengan berhati-hati kerana sungai ini merupakan sumber air mentah utama Pulau Pinang.

“Kami juga ingin memohon pemahaman dan kerjasama semua pengguna air di negeri ini untuk menggunakan air dengan berhemat kerana paras air Sungai Muda adalah rendah dan rizab Empangan Muda telah habis,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast