Roslan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak lelakinya dengan membiarkannya tidur di kaki lima rumah flat di Pasir Gudang.

JOHOR BAHRU – “Saya ada bekalkan kunci, tetapi dia tidak mahu masuk. Tak mengapalah, saya faham, saya mengaku salah sahajalah,” kata Roslan Abas, 56, selepas pertuduhan mengabaikan anak lelakinya dibacakan ke atasnya di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Pengutip barang lusuh itu merupakan bapa kepada seorang remaja lelaki yang didakwa mengabaikan anak dengan membiarkannya tidur di sebuah rumah flat di Pasir Gudang antara pukul 10 malam, 7 Julai hingga 8 pagi, 9 Julai lalu.

Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim bagaimanapun menolak pengakuan bersalah tertuduh selepas berpendapat ia dibuat dengan bersyarat.

Bagi pertuduhan itu, Roslan sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap remaja berusia 14 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama.

Tertuduh berdepan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketika dibenarkan mahkamah untuk memberi penjelasan selepas fakta kes dibacakan, Roslan berkata, apa yang berlaku adalah benar, namun anak lelakinya itu seorang yang tidak mendengar kata.

“Dia (mangsa) suka macam itu, tidak boleh dipukul, saya cakap tidak mahu dengar. Setiap malam saya tidur lewat, tetapi saya selalu intai ke luar, dia tiada pun di depan rumah,” katanya.

Hakim kemudian menolak pengakuan bersalah tertuduh dan memberikan peluang kepada tertuduh untuk dibicarakan.

“Pengakuan bersalah perlulah dibuat tanpa syarat dan tertuduh perlu mengakui fakta kes. Jika begini, kes akan dibicarakan dan mahkamah beri peluang pada kamu untuk buktikan kamu tidak bersalah,” jelas Che Wan Zaidi.

Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad kemudian menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta tiga syarat tambahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu dalam rayuan mengurangkan jaminan memberitahu mahkamah dia tiada penjamin dan tiada duit untuk membayar jamin.

“Pendapatan saya tidak menentu, kadang-kala cecah RM1,000, kadang-kala tidak sampai. Tanggungan cuma berempat termasuk dia (mangsa anak kedua daripada dua beradik),” katanya.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 serta syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen pada 29 Julai ini. – MalaysiaGazette