Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu telah menahan seorang pemilik syarikat yang juga suami kepada bekas Pegawai Eksekutif sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana disyaki terbabit menyalahgunakan jawatan bagi mendapatkan kontrak pembekalan pekerja berjumlah kira-kira RM1.4 juta.

Menurut sumber, suspek berusia lingkungan 30-an telah ditahan sekitar jam 4.00 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu.

“Penahanan lelaki itu adalah susulan tangkapan terhadap isterinya yang kini ditahan reman selama enam hari sejak Selasa lalu bagi membantu siasatan.

“Wanita berkenaan yang juga suspek utama dipercayai telah melakukan perbuatan itu sekitar tahun 2019 dengan menggunakan jawatannya bagi mencadang serta menyokong syarikat milik suaminya untuk mendapatkan kontrak pembekalan pekerja berjumlah kira-kira RM1.4 juta,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Katanya, suspek akan ditahan bagi tempoh 24 jam dan akan dibebaskan dengan jaminan SPRM sebaik proses merakamkan keterangannya selesai dilakukan. – MalaysiaGazette