SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak lagi tertumpu kepada operasi membanteras ‘ulat’ di lapangan terbang, terminal bas dan jeti sahaja, bahkan premis hotel dan kawasan pelancongan menjadi sasaran baharu agensi penguat kuasa itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, ini kerana sindiket kenderaan sapu bermaharajalela dengan memperdaya pelancong asing dengan kadar bayaran tiga kali ganda untuk ke destinasi pelancongan.

“Ini antara salah satu ops penguatkuasaan, operasi baharu dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat JPJ, selain daripada kita tumpukan kepada ops ulat yang selalu kita laksanakan di lapangan-lapangan terbang utama negara.

“Tumpuan kita kali ini bukan setakat di lapangan-lapangan terbang sahaja bahkan kali ini kita luaskan sasaran kita di premis hotel utama dan tempat lain yang kita rasakan banyak isu prebet sapu.

“Ada satu kes di mana satu perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura dikenakan caj sebanyak SGD$300, sedangkan kadar biasa baru RM300 sahaja.

“Sindiket ini kenakan caj bayaran ikut mata wang Singapura, perkara ini agak mencemarkan imej negara,” katanya pada sidang media, di JPJ Selangor, di sini, hari ini.

Menurut Aedy Fadly, sindiket prebet sapu yang beroperasi sejak sekian lama itu bukan sahaja bagaikan lintah menghisap darah, bahkan kenderaan yang digunakan tidak mempunyai permit yang sah sebagai kenderaan awam.

“Saya ingin memberi amaran kepada pemandu-pemandu yang tidak mempunyai permit sah, dia tidak mempunyai insurans, apabila dia membawa penumpang, mereka tidak dilindungi oleh insurans dan membahayakan penumpang tersebut.

“Kebanyakan penumpang yang diambil dari kawasan premis hotel ini adalah pelancong warga asing, tidak tahu dengan kenderaan yang mempunyai permit sah seperti teksi dan kenderaan e-hailing,” katanya.

Katanya, sebagai permulaan, bahagian penguat kuasa JPJ akan ditempatkan di premis-premis hotel yang menjadi lubuk kepada sindiket prebet sapu dan kemudiannya melakukan tangkapan dan menyita kenderaan terbabit.

“Kita ada modus operandi ops kita dan SOP yang dilaksanakan dan kita tahan pemandu-pemandu yang mengambil penumpang di hotel-hotel utama di Malaysia tanpa permit.

“Kenderaan yang digunakan tidak mempunyai permit yang sah dan kita sita kenderaan-kenderaan tersebut,” katanya.

Katanya, operasi membanteras kenderaan sapu itu telahpun bermula di sekitar Lembah Klang pada minggu ini dan akan diperluaskan ke negeri lain secara berperingkat-peringkat.

“Kemudian kita akan kembangkan ke seluruh negara berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh pengarah kanan penguatkuasa, selepas ini saya akan mengarahkan semua negeri untuk mengambil tindakan yang sama untuk melaksanakan operasi ini.

“Sindiket ini tidak boleh dibiarkan kerana mencemarkan imej negara jika pemandu-pemandu tanpa permit ini masih meneruskan kerja-kerja mereka di hotel-hotel dengan mengenakan caj amat tinggi berbanding caj sebenar,” katanya. – MalaysiaGazette