JAKARTA- Pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Nahdatul Ulama (NU) akan memanggil lima ahlinya yang bertemu dengan Presiden Israel Isaac Herzog susulan gambar berkaitan pertemuan itu tular di media sosial, baru-baru ini.
“Mereka akan dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung tujuan, latar belakang, pembiayaan perjalanan dan butiran-butiran lain pertemuan tersebut,” kata Setiausaha Agung Lembaga Eksekutif NU (PBNU), Saifullah Yusuf dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, sekiranya terdapat bukti yang menunjukkan berlaku pelanggaran peraturan NU, kelima-lima ahli terbabit akan dipecat daripada pertubuhan tersebut.
Yusuf turut menzahirkan rasa kecewa dengan lawatan kumpulan yang menggelarkan mereka sebagai “Pemuda NU” itu ke Israel yang seterusnya disusuli pertemuan dengan Herzog.
“Kelima-lima ahli terbabit tidak mendapat mandat daripada PBNU (untuk mengadakan pertemuan dengan Herzog), malah tidak pernah membuat permohonan kepada NU,” katanya lagi.
Yusuf menggelarkan lawatan tersebut sebagai “satu tindakan yang sangat tidak bijak” terutama ketika ketegangan di antara Israel dan Palestin sedang memuncak.
“Lawatan itu menyakitkan kita semua,” tegas beliau.
Indonesia tegas menyokong kebebasan Palestin dan dalam masa sama tidak mengiktiraf Israel.
Jakarta juga tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Tel Aviv.- ANTARA NEWS