GEORGE TOWN – Pulau Pinang memainkan peranan penting dalam memastikan sasaran 40 peratus pengeluaran akuakultur negara dapat dicapai menjelang 2030.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ia susulan negeri ini merupakan penyumbang tertinggi kepada pengeluaran akuakultur marin tahun lalu.
Jelas beliau, dalam memastikan sasaran itu dapat dicapai, pihaknya juga mengambil beberapa langkah penting antaranya mengaplikasikan penggunaan teknologi inovasi yang lebih cekap untuk memastikan kemampanan serta kecekapan industri perikanan termasuk usaha-usaha konservasi.
“Ketika ini pengeluaran akuakultur negara mewakili 30 peratus daripada jumlah pengeluaran perikanan.
“Justeru melihat potensi itu termasuk juga Sabah dan Perak, kita yakin sasaran sedemikian dapat dicapai.
“Malah, nilai dagangan pasaran domestik dan eksport yang dicatatkan Pulau Pinang adalah sebanyak RM990 juta dengan pengeluaran produk makanan laut melebihi 57,000 tan metrik pada tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Institut Antarabangsa Ekonomi dan Perdagangan Perikanan (IIFET) ke-21 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Persidangan anjuran WorldFish dan Jabatan Perikanan bermula semalam hingga Jumaat ini berjaya mengumpulkan lebih 200 perwakilan dari dalam serta luar negara termasuk pakar global untuk membincangkan “Sistem Makanan Akuatik dalam Ekonomi Biru”.
Persidangan yang bergilir di seluruh dunia itu memberi satu signifikan besar kepada negara berikutan pertama kali dianjurkan di rantau asia. – MalaysiaGazette