KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Datuk Sivaraj Chandran menggesa kerajaan untuk meminda undang-undang sedia ada dan mengenakan hukuman lebih berat bagi mengelakkan kes-kes buli siber yang semakin membimbangkan di negara ini.
Kata Sivaraj, perlu ada ketegasan dalam meminda Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta akta lain yang berkaitan.
Bekas Ketua Pemuda MIC itu berkata, hukuman yang ada sekarang iaitu denda RM50,000 dan penjara setahun perlu ditambah bagi memastikan kes buli siber tidak berlaku lagi.
“Hukuman dan akta yang ada hari ini tidak cukup untuk menakutkan pelaku-pelaku ini seolah-olah mereka cukup ‘kebal’ sehingga boleh menyalahgunakan platform media sosial sehingga boleh membahayakan kesihatan dan nyawa orang lain.
“Kemudian apabila disabitkan kesalahan, didakwa, golongan boleh lepas begitu sahaja dan mungkin melakukan lagi kesalahan serupa. Bagi yang belum didakwa, mereka juga tidak kisah untuk melakukan kesalahan itu kerana pada mereka hukuman ini tidak berat.
“Atau seperti dicadangkan oleh Menteri Digital, YB Gobind Sing Deo, satu undang-undang baru harus digubal bagi melindungi pengguna-pengguna media sosial yang terdedah dengan ‘kebodohan’ orang-orang tidak bertanggungjawab,” tulisnya dalam laman sosial beliau.
Sivaraj mengulas tentang dua individu didakwa di dua mahkamah hari ini berkait kematian seorang pempengaruh bernama Rajeswary Appahu atau dikenali Esha yang bertindak membunuh diri selepas menjadi mangsa buli siber beberapa individu minggu lepas.
Terdahulu Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari mengesahkan seramai 11 saksi termasuk ahli keluarga mangsa selesai dirakam percakapan bagi melengkapkan kertas siasatan polis dalam kes tersebut. -MalaysiaGazette