SUNGAI BULOH – Proses bedah siasat ke atas mayat Nur Farah Kartini Abdullah yang ditemui mati di kawasan ladang kelapa sawit, Kampung Sri Ledang, Hulu Selangor telah selesai sepenuhnya.
Menurut sumber, bedah siasat ke atas bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu selesai sekitar jam 6.10 petang tadi di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, abang mangsa, Mohd Farriza Azmi Abdullah, 28, bersama seorang lagi ahli keluarganya dibawa masuk ke dalam bilik bedah siasat.
Mohd Farizza kelihatan sebak dan tidak dapat menahan air mata selepas melihat keadaan adiknya yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik.
Kira-kira jam 6.30 petang tadi, ahli keluarga allahyarham dilihat mula beredar dari kawasan hospital dan enggan ditemu bual pihak media.
Difahamkan jenazah mungkin akan dituntut esok.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata mayat Nur Farah Kartini ditemui hampir reput di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, pada Isnin.
Katanya lagi, mayat mangsa dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu.
“Ketika mayat mangsa ditemukan, keadaannya sudah hampir reput kerana telah meninggal dunia beberapa hari.
“Jadi, belum dapat dipastikan kecederaan yang ada,” katanya. – MalaysiaGazette