Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 15 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) diminta untuk membuat penjelasan mengenai pelaksanaan perkongsian kos atau pembayaran bersama untuk produk insurans dan takaful perubatan serta kesihatan (MHIT) mulai 1 September ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, adalah mustahak BNM berbuat demikian agar perkara itu tidak menimbulkan kejutan kepada orang ramai dan menyebabkan mereka tidak lagi melanggan insurans.

Ini kerana katanya, beliau khuatir terhadap kesannya yang menyebabkan semua orang berpusu-pusu beratur di fasiliti kesihatan awam

“Saya minta BNM membuat satu penjelasan dan pencerahan yang baik.

“Kami sentiasa mahu memberikan sokongan andai ia tidak membebankan rakyat dan fasiliti kesihatan kerana jika ramai tidak berinsurans, maka mereka akan beratur di fasiliti kesihatan,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai kajian impak dijalankan terhadap pelaksanaan MHIT terhadap syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) mulai 1 September 2024.

Alias turut meminta penjelasan mengenai peningkatan inflasi kos perubatan negara sebanyak 12.6 peratus berbanding 5.6 peratus pada tahun lalu.

Pada 1 Julai lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dalam sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat dilaporkan berkata, BNM mewajibkan ITO yang menawarkan produk MHIT baharu untuk memperkenalkan ciri-ciri perkongsian kos dalam produk MHIT.

Ia antara langkah bagi menangani kenaikan premium insurans atau sumbangan takaful bagi produk MHIT secara mendadak.

Tindakan itu juga, kata Lim dapat mengurangkan tuntutan palsu dan seterusnya dapat merendahkan kos secara keseluruhan serta meningkatkan kemampanan jangka panjang produk MHIT.

Dalam pada itu, Dzulkefly turut mengakui harga ubat-ubatan tinggi di negara ini dan meminta Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) mengambil kira mengenai perkara itu.

Menurutnya, sebagai Menteri, pihaknya mahukan penjagaan kesihatan berasaskan nilai kepada orang ramai.

Beliau turut mahu agar satu kerjasama dan libaturus dijalankan antara kementerian dan APHM mengenai peningkatan inflasi kos perubatan negara ini. – MalaysiaGazette