Mohd Farriza Azmi Abdullah

SUNGAI BULOH – Jenazah Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor pada Isnin lalu dijangka dikebumikan Pekan, Pahang, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh abang mangsa, Mohd Fariza Azmi Abdullah, 28, yang dihubungi hari ini selepas jenazah bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dituntut.

Ketika ditanya mengenai masa bagi menuntut jenazah dan lokasi pengebumian, beliau berkata, ia akan dimaklumkan kemudian.

Seawal jam 7 pagi tadi pengamal media telah berkumpul di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, di sini.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemukan hampir reput di kawasan ladang kelapa sawit, Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor.

Mayat graduasi UPSI itu yang ditemukan kira-kira jam 6 petang dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki yang juga anggota polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Polis Perak kemudian mengesahkan suspek adalah seorang anggotanya berpangkat lans koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim dan sudah lima tahun berkhidmat.

Suspek direman tujuh hari sehingga 22 Julai ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette