Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bercakap kepada media selepas Majlis Pengiktirafan Malaysia Book Of Record- LBS Bina Group Berhad Syarikat mempunyai bilangan rumah contoh terbanyak di dalam galeri jualan Projek Perumahan di Galeri Kita Cybersouth, Selangor. Foto MUHD NA'IM 27 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican meluahkan rasa tidak berpuas hati walaupun penganjur Festival George Town 2024 telah menurunkan video promosi mereka dan memohon maaf.

Tegas Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam itu, video pendek itu seolah-olah mahu menafikan sumbangan orang-orang Melayu kepada warisan dan sejarah Pulau Pinang

“Video itu telah menyinggung perasaan dan membangkitkan rasa tidak senang orang-orang Melayu, kaum terawal yang mendiami Pulau Pinang.

“Adalah tidak wajar pihak-pihak yang terlibat langsung dengan penganjuran GTF 2024, iaitu Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pulau Pinang terlepas pandang perkara sedemikian.

Reezal juga menggesa Kerajaan Pulau Pinang dan penganjur George Town Festival 2024 yang dilantik supaya lebih peka dan sensitif dengan kepelbagaian seni dan budaya kaum-kaum yang ada di Pulau Pinang.

“Khilaf sudah berlaku dan sukar dilupakan walaupun video sudah diturunkan. Harap tidak berlaku lagi di masa depan,” katanya.

Semalam, Pas Pulau Pinang menyatakan kekesalan yang teramat sangat atas pengeluaran video promosi Festival George Town 2024 selama 10 hari yang akan bermula Jumaat ini.

Ketua Penerangannya, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan turut mencadangkan nama George Town ditukar kepada nama asalnya  bagi mencerminkan ‘identiti’ kebangsaan’. – MalaysiaGazette