Suasana Tanah Perkuburan Islam Kampung Nyiur Manis, Bentan, Pekan inilah yang dikatakan akan menjadi lokasi jasad Nur Farah Kartini Abdullah dikebumikan nanti.

PEKAN – Kubur bagi menempatkan jasad Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah,25, sudah selesai digali di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nyiur Manis, Bentan, Pekan pagi tadi.

MalaysiaGazette difahamkan kerja-kerja menggali siap dilakukan pada jam 7 pagi tadi dengan menggunakan jentolak.

Malah, dua khemah putih turut dipasang dikubur berkenaan, termasuk satu dijadikan penutup lubang kubur yang sudah digali.

Dalam pada itu, sumber memberitahu, penduduk kampung berkenaan sudah bersiap-sedia menunggu jenazah Allahyarham Nur Farah Kartini.

Jenazah Allahyarham terlebih dahulu akan disolatkan di Masjid As-Syakirin Tanjung Selangor sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis.

Difahamkan, jenazah graduan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) itu akan dikebumikan di sini kerana berhampiran dengan tempat tinggal salah seorang abangnya.

Semalam, abang Allahyarham, Mohd Fariza Azmi Abdullah memakumkan adiknya akan dikebumikan di Pekan, Pahang.

Namun, sehingga berita ini ditulis media masih belum diketahui bilakah jenazah graduan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) itu akan dikebumikan.

Ia kerana, jenazah Allahyarham tidak boleh dituntut oleh ahli keluarga.

Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan sejak 10 Julai lalu.

Polis kemudian mengesahkan penemuan mayatnya di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor pada Isnin lalu.

Setakat petang tadi, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan jenazah Allahyarham belum boleh dituntut hari ini susulan proses tuntutan  hanya boleh dilakukan selepas keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) diketahui, yang mungkin memakan masa beberapa hari.

Sampel DNA ibu dan adik-beradik Allahyarham sudah diambil di Hospital Sungai Buloh hari ini susulan kesukaran pihak polis membuat pengecaman secara visual ketika ini. – MalaysiaGazette