Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Seorang saksi dari bahagian Cukai Perkhidmatan Kementerian Kewangan memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, bahawa pihaknya tidak menemui dokumen yang menunjukkan Lim Guan Eng membatalkan pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary.

Ketua Seksyen Perkhidmatan II (MOF), Hazlan Abdul Aziz, beliau tidak menjupai surat yang membuktikan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang dakwannya dalam isu pembatalan pengecualian cukai bagi Yayasan Albukhary itu.

Ketika disoal peguam Guan Eng, Guok Ngek Seong, Hazlan berkata, beliau telah menyemak sekali lagi tentang surat pengecualian itu sebelum datang memberikan keterangannya hari ini di mahkamah.

Hazlan ketika disoal peguam Muhyiddin, Chetan Jethwani memberitahu, pada Februari 2021 kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah memberikan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary sebanyak RM426 juta.

Semalam ketika memberikan keterangannya, pengecualian itu diberikan kepada Yayasan Albukhary ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) namun ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah, telah membatalkan pengecualian tersebut.

“LHDN telah batalkan pengecualian yang mana Menteri Kewangannya adalah Lim Guan Eng. Mereka buat keputusan tidak iktiraf pengecualian itu.

“Yayasan itu tidak perlu buat rayuan pada saya jika pengecualian itu masih lagi diterima oleh LHDN ketika PN memerintah,” kata Muhyiddin.

Difahamkan surat rayuan daripada Yayasan Albukhary diterima di antara 5 dan 8 Februari 2021 menyatakan pengecualian cukai diberikan di antara 2016 hingga 2018 tetapi LHDN ingin mengenakan semula cukai tersebut.

Guan Eng yang merupakan bekas Menteri Kewangan memfailkan saman terhadap Muhyiddin yang didakwa mengeluarkan tiga kenyataan memfitnah menerusi laporan berhubung perkara itu diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita pada hari sama pada 27 Mac lepas.

Guan Eng mendakwa, fitnah itu telah memberi maksud beliau telah menyalahgunakan kedudukan dengan memberi kuasa atau mengarahkan LHDN mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan itu, apabila ia tidak patut dikenakan cukai.

Hakim Mahkamah Tinggi, Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain kemudian menetapkan 12 September ini untuk mendengar hujahan lisan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast