Suasana ketika jenazah Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nyiur Manis, Bentan Pekan, Pahang. Foto SYADILA AMARI, 18 JULAI 2024.

PEKAN – Jenazah Allahyarhamah Nur Farah Kartini Abdullah, 25, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nyiur Manis, Bentan di sini pukul 5.20 petang tadi.

Van membawa jenazah bergerak keluar dari Unit Forensik Hospital Sungai Buloh, Selangor kira-kira jam 2.15 petang tiba di tanah perkuburan kira-kira  tiga jam perjalanan.

Suasana pilu mengiringi pengebumian Nur Farah Kartini dihadiri ahli keluarga mangsa, rakan dan penduduk kampung dan warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Hadir sama Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Najib yang mewakili kerajaan negeri.

Jenazah anak bongsu daripda tujuh adik-beradik itu dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang pada Isnin lalu disyaki dibunuh.

Sebelum itu Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai lepas selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga seorang anggota polis bertugas di Perak telah ditahan dan direman sehingga 22 Julai ini untuk membantu siasatan berkaitan kes terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Peramu Jaya ketika ditemui memaklumkan pemilihan lokasi perkuburan itu merupakan kawasan perkampungan kakak ipar mangsa.

Tambahnya, lokasi itu memudahkan urusan keluarga ekoran keadaan jenazah dipercayai uzur untuk melalui perjalanan jauh.- MalaysiaGazette