Nie Ching (tengah) dan Jafni (kanan) melihat kelajuan liputan internet semasa melawat Tapak Menara Komunikasi Kampung Murni Jaya 2, di Kulai hari ini

KULAI – Projek membina 1,661 unit menara komunikasi bawah projek Jalinan Digital Negara (Jendela) hanya mencapai 30 peratus kemajuan sejak dimulakan pada 2020.

Timbalan Menteri Komuniti dan Digital, Teo Nie Ching berkata, ketika ini sebanyak 492 menara yang mampu disiapkan dan sudah pun beroperasi sepenuhnya.

“Pada masa sama sebanyak 716 menara sudah dibina dan dalam proses pengoperasian. Di Johor sebanyak 56 menara sudah pun siap dibina.

“Kita mahu mencapai 100 peratus liputan telekomunikasi secepat mungkin dan setakat ini hanya mencapai 93 peratus. Namun terdapat kelewatan projek ini di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Tapak Menara Telekomunikasi Kampung Murni Jaya 2 dan Kampung Tersusun, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Dalam lawatan itu, Nie Ching berpuas hati dengan purata ujian kelajuan internet iaitu lebih 10 megabait sesaat (Mbps), mematuhi standard yang telah ditetapkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Mengulas lanjut, beliau berkata, projek di Sabah dan Sarawak dimulakan pada 2022 yang sepatutnya siap dalam tempoh 18 bulan tetapi tidak dapat disiapkan kerana masalah tapak.

Beliau mengakui kurang berpuas hati dengan perkembangan projek berkenaan di Sabah dan Sarawak tersebut dan kelewatan projek di dua negeri itu adalah kerana mencari masalah tapak menara yang sesuai.

Menurut Nie Ching, di Sabah hanya 50 peratus projek menara tersebut sudah disiapkan manakala di Sarawak pula hanya 20 peratus.

“Memang Sabah dan Sarawak jadi tumpuan kami. Kami perlu menggunakan mikrowave (gelombang mikro) ataupun satelit untuk memberi perkhidmatan komunikasi kepada penduduk terutamanya kawasan pedalaman Sabah.

“Kalau nak menggunakan gentian optik memerlukan waktu yang agak panjang, jadi setakat ini pihak kami mengkaji solusi baru,” ujar beliau.

Sementara itu, Mohd Jafni berkata, pihaknya memohon tiga menara di kawasannya dan kini dua daripadanya sudah mula beroperasi iaitu di Kampung Murni Jaya 2 dan Kampung Tersusun.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, satu lagi menara iaitu di Kampung Felda Inas akan siap dan beroperasi pada September ini.

“Memang ketiga-tiganya ini antara kawasan yang berbelas tahun tak ada liputan. Jadi dengan peruntukan setiap menara 1.5 juta dan pihak SKMM telah keluarkan RM4.5 juta (kos untuk tiga menara tersebut),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast