BANDAR PERMAISURI – Seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di kilometer (KM) 35.5 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu pada kira-kira 12.50 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Supt MohdZainMat Dris berkata, kemalangan itu yang melibatkan bas persiaran, lori dan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu mangsa, Nik Nabilah Nik Abdul Ghaffar, 36, berlaku berhampiran pintu gerbang sempadan daerah Setiu.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila MPV jenis Toyota Avanza yang dipandu mangsa dari arah Besut ke Kuala Terengganu hilang kawalan lalu bergesel dengan bahagian sisi belakang sebelah kanan lori yang datang dari arah bertentangan.
“Pada masa sama kenderaan dipandu mangsa turut bertembung dengan bahagian hadapan bas pesiaran yang juga datang dari arah bertentangan.
“Kemalangan itu turut menyebabkan anak mangsa, Wan Muhammad Aqil Wan Zulkhairi, 16, yang berada di tempat duduk belakang luka tangan kanan, manakala pemandu dan kelindan lori serta pemandu bas tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Zaub berkata, Wan Muhammad Aqil telah dihantar ke Hospital Setiu untuk rawatan, manakala mayat ibunya dihantar ke hospital sama untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – BERNAMA